Rabu, 26 September 2012

Madrasah Batu 14, Hulu Langat Bertunjangkan Ajaran Sesat??

Salam pembuka bicara kepada semua pembaca blog Lidah Bercabang. Alhamdulillah..aku melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang hidup di muka bumi tuhan yang luas ini.

Cerita yang aku ingin kongsikan bersama-sama pembaca semua adalah berkaitan cerita yang di ceritakan secara tak sengaja oleh adik lelaki aku sekembalinya dia dari solat Jumaat beberapa minggu yang lepas. Baru sekarang aku berkesempatan untuk coretkan. Aku ingin menduga memori ingatan pembaca semua, seluruh negara kita digemparkan ekoran peristiwa tanah runtuh yang meranapkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor pada 21 Mei 2011. Peristiwa tersebut telah mengorbankan 16 orang, majoritinya kanak-kanak. Mesti ramai dapat mengingati peristiwa tersebut bukan? Sedih sungguh hati kita tatkala melihat mangsa runtuhan rata-rata terdiri daripada kanak-kanak yang berstatus anak yatim piatu. Sejurus berlakunya peritiwa tersebut, pelbagai pihak mula menuding jari sesama mereka. Mereka tertanya-tanya apakah punca sebenar kejadian tanah runtuh tersebut boleh berlaku sehingga menyebabkan kanak-kanak tidak berdosa ini ditimbus tanah hidup-hidup.

Abaikan permasalah berkaitan struktur tanah, lesen rumah tersebut didirikan atau sebagainya. Apa yang aku ingin sentuh di sini adalah berkaitan cerita adik lelaki aku yang mengatakan madrasah ini diasaskan oleh seorang yang bernama Juruzon yang mengembangkan ajaran Juruzon(ajaran sesat) untuk dipatuhi oleh penganutnya. Tiada sumber sahih yang boleh aku dapati sebab aku sendiri tidak mendengar khutbah jumaat.(Solat Jumaat wajib untuk lelaki sahaja). Akhir sekali sumber sahih yang boleh aku perolehi adalah melalui Lawan Web JAIS dimana mereka menjadikan setiap khutbah jumaat dipaparkan saban minggu. Pembaca boleh melihat dan mencetaknya semula untuk di jadikan panduan atau rujukan. Syabas JAIS atas inisiatif yang dilakukan. Berikut merupakan isi kandungan Khutbah Jumaat  bertarikh 21 September 2012 untuk bacaan kita bersama :


Sidang Jumaat yang di rahmati Allah

Terbongkarnya ajaran ini di Selangor ialah apabila berlakunya suatu peristiwa tanah runtuh yang melibatkan sebuah madrasah di Batu 14, Hulu Langat, Selangor yang telah mengorbankan seramai 16 orang pada 21 Mei  2011 tahun lalu. Setelah disiasat, pihak berkuasa mendapati bahawa pengasas ajaran adalah orang yang sama mengembangkan ajaran Juruzon di Wilayah Persekutuan. Beliau telah membina Madrasah At-Taqwa yang bernaung di bawah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2002 sebagai tapak baru.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah

Setelah berlakunya tragedi hitam ke atas madrasah tersebut, didapati madrasah ini menjadi pusat kegiatan ajaran Juruzon dan terdapat banyak penemuan serta bukti penyelewengan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Antaranya ialah;
1.   Penerimaan ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak, di mana mereka meyakini akan kehadiran "Guru Ghaib" yang turun melalui badan Juruzon. Ia memberi pengajaran dan arahan kepada ahli kumpulan agar patuh dan setia melalui majlis yang dinamakan "Majlis Rabitah".
2.   Juruzon mendakwa mempunyai bacaan al-Qurannya sendiri yang turun daripada Arasy. Bahasa Arasy ini bukanlah bahasa arab seperti bahasa al-Quran, tetapi bahasa Arasy itu sendiri. Beliau juga mendakwa bahasa ini digunakan selepas mati.
3.   Amalan atau pegangan yang bersifat kepada salah laku seks yang melampau, iaitu perbuatan terkutuk ini dilakukan adalah semata-mata untuk melepaskan nafsu syahwatnya.
4.   Ajaran ini juga mengkelaskan "mahram" yang bertentangan dengan syarak, yang mana amalan ini adalah bertujuan menjadikan hubungan di antara ahli-ahli kumpulan seperti adik-beradik yang menghalalkan bersalaman dan bersentuhan tanpa lapik atau bercium pipi di antara lelaki dan perempuan.
5.   Penyalahgunaan konsep zakat iaitu Juruzon mengenakan kutipan zakat kepada ahli-ahli kumpulan di antara 10-25% daripada pendapatan bulanan yang wajib diberikan setiap awal bulan dan akan berganda jika lewat dibayar, wang ini merupakan salah satu cara mengembangkan ajaran ini dengan lebih pesat.
6.   Juruzon mendakwa mendapat perintah daripada "Guru Ghaib" bahawa setiap ahli kumpulan hendaklah membuat pinjaman dan menjadi penjamin kepadanya semata-mata untuk memenuhi kehendak beliau termasuklah bayaran kereta mewah, rumah banglo dan sebagainya.
7.   Juruzon mendakwa beliau mampu untuk berinteraksi dengan roh-roh si mati lebih-lebih lagi ibubapa kepada ahli-ahli kumpulan yang telah meninggal dunia, beliau juga menyatakan bahawa roh-roh mereka ini mewasiatkan supaya anak mereka tetap bersama di dalam jemaah ini kerana jemaah ini adalah jemaah yang benar.
8.   Ajaran ini memutuskan hubungan kekeluargaan untuk melahirkan pengikut taksub, yang mana juruzon menggalakkan ibubapa di kalangan kumpulan ini menyerahkan anak-anak mereka untuk mengikuti kumpulan ini sejak berumur 12 tahun dan ada juga yang menyerahkan sejak berada dalam kandungan ibunya.
9.   Juruzon juga mengugut ibubapa yang keluar daripada kumpulan ini dengan menghasut anak-anak mereka supaya membenci ibubapa. Beliau menghalang dan memisahkan anak-anak daripada berjumpa dengan ibubapa mereka sendiri. Mereka yang keluar daripada kumpulan dianggap pembelot dan pengkhianat agama. Juruzon juga mengancam kepada ahli kumpulan yang hendak keluar denga nacaman yang menakutkan.

p/s : Wallahualam. Marilah kita bersama-sama menadah tangan memohon kehadratnya agar roh-roh mereka yang telah meninggal dunia dicucuri olehNya. Dan kita yang masih hidup memohon agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayah daripadanya. Mintak dijauhkan daripada gangguan syaitan dan anasir luar yang boleh memesongkan akidah. Aminnn Ya Rabb...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan